Umrah Akhir Ramadhan Yang Dirindui



Walaupun catatan umrah yang saya kongsikan hari ini adalah catatan umrah dalam bulan Ramadhan tahun 2017, namun saya tetap ingin kongsikan sebagai rujukan saya sendiri dan juga pada pembaca semuanya. Ada beberapa orang follower blog yang menulis pada saya sebelum ini memberitahu mereka masih menunggu entri berkenaan umrah saya kali ini. 

Ramadhan tahun ini akan tiba dalam 85 hari sahaja lagi. Diharap ianya dapat memberi sedikit sebanyak manafaat pada mereka yang pertama kali ingin mengerjakan umrah Ramadhan. 

Setelah 2 tahun saya tidak mengerjakan umrah Ramadhan, akhirnya hasrat saya menjadi kenyataan pada tahun 2017 yang lalu. Dalam tempoh tersebut, banyak perubahan yang berlaku di Mekah dan Madinah termasuk tenaga dan kekuatan saya sendiri. Hajat hati untuk membawa Juita bersama tidak menjadi kenyataan apabila pihak agen tidak boleh mengusahakan visa beliau tanpa mahram.  

Walaupun hampir setahun berlalu, namun segalanya masih seolah masih baru sahaja berlalu. Saya bertolak mengerjakan umrah dengan menaiki penerbangan khas ke Madinah pada 10 June 2017. Kami mengerjakan solat Jamak qasar Zohor dan Asar di pintu pelepasan secara berjemaah dengan Ustaz Rosli. Penerbangan ini hanya dinaiki oleh jemaah dari Rayhar dan Andalusia. 

Sepanjang perjalanan saya hanya tidur dan berzikir. Saya juga tidak lupa untuk berdoa kerana doa orang yang di dalam musafir adalah mustajab. Saya mengikut cara berdoa yang diajar oleh Ustaz Jafri yang ianya seolah kita sedang bercakap dengan Allah secara merintih. Bermula dengan mengenangkan dosa, saat kematian, saat di alam barzah, saat dibangkitkan di Padang Masyhar, melalui titian sirat dan akhir sekali memohon syurga Firdaus tanpa hisab. 

Kami sampai di airport Madinah dan berbuka puasa ketika sedang menunggu bag. Selepas berbuka, kami menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak di surau yang terdapat di airport. Inilah kali pertama saya mengalami pengalaman berpuasa yang sangat panjang. Rasanya hampir 19 jam. 

Alhamdulillah bila kami tiba di hotel ketika solat terawih di Masjid Nabawi. Saya tidak ke masjid sebaliknya berehat terlebih dahulu. Saya ke masjid sebelum azan Subuh pertama iaitu pukul 3.00 pagi untuk menunaikan solat Tahajjud. Ketika itu, orang belum ramai. Jadi tak susah untuk mendapatkan tempat di dalam masjid. 





Saya berulang alik dari masjid ke hotel kerana kedudukan hotel Dallah Thaibah yang bertentang dengan pintu masuk gate 25 yang merupakan pintu Raudhah bagi jemaah wanita. Hotel saya adalah seperti gambar di atas. Balik untuk mengambil wudhu dsb. Kelebihan mendapat hotel yang dekat adalah kita boleh balik berehat. 

Kali ini boleh dikatakan saya puas berada di Madinah. Kami di sini agak lama iaitu 5 hari. Oleh kerana lama di sini, kami sempat juga dua kali ke Masjid Quba secara sendiri dengan ustaz dan jemaah. 


Saya juga banyak balik untuk tidur supaya saya tidak mengantuk ketika solat Terawih. Sepanjang di Madinah, saya tidak balik berbuka di hotel kerana kesukaran untuk masuk ke dalam masjid selepas itu. Memang saya bertekad untuk solat di dalam masjid sahaja. Tak mahu solat di luar masjid. Ada juga keinginan untuk berbuka dengan makanan sedap sedap yang dihidangkan di luar masjid, tetapi saya tidak sanggup mengorbankan kelebihan bersolat di dalam masjid.




Tapi yang paling best, setiap hari saya bersahur dengan nasi Arab. Puas makan nasi Arab sepanjang di sana. Ada pelbagai jenis nasi Arab yang sangat mewah dengan lauk pauk seperti kambing dan ayam. Ada juga disediakan lauk pauk lain. Tidak seperti tahun sebelumnya di mana saya memang tidak balik berbuka di hotel. Lagi pulak, dulu kami hanya beberapa malam sahaja di Madinah.






Pada hari khamis baru kami bertolak ke Mekah dan sampai sebelum Maghrib. Kawan kawan yang datang selepas kami pun semuanya telah bertolak ke Mekah lebih awal. 





Sumber http://www.aziekitchen.com/

Comments

Popular posts from this blog

Rendang Pedas Ayam Bonda Mertua Yang Sangat Sedap

Nasi Impit Dengan Sambal Kelapa Ikan

Nutella Hazelnut Cake Sedap Dari Resepi Kek Kafe